Khamis, 28 March 2024 | 4:33pm
Ibu tunggal didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat kerana buat laporan palsu. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Ibu tunggal didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat kerana buat laporan palsu. - Foto NSTP/Alias Abd Rani

Ibu tunggal didenda RM500 buat laporan palsu konon diragut

BATU PAHAT: Seorang ibu tunggal didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana membuat laporan palsu kononnya diragut, bulan lalu.

Rafizanah Razak, 36, yang juga orang kena saman (OKS) didakwa membuat laporan palsu itu kerana bimbang didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akibat kehilangan kad pengenalan.

Raizanah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi maklumat palsu kepada pegawai penyiasat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada jam 11.42 pagi, 27 Februari.

Beliau didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pegawai penyiasat menerima laporan daripada OKS memaklumkan dia diragut lelaki tidak dikenali.

Dalam laporan itu, OKS memberitahu dia kehilangan wang tunai, kad pengenalan, kad bank dan beberapa barangan berharga.

Polis mula menjalankan siasatan sebaliknya, menimbulkan keraguan terhadap laporan dibuat OKS. Selepas ditanya, OKS memberitahu dia membuat laporan palsu kerana kad pengenalan hilang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhkan denda RM500 dan perintah menjalani hukuman penjara 14 hari jika gagal membayarnya.

Berita Harian X