Khamis, 28 March 2024 | 2:03pm
Said dipenjara enam bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Batu Pahat kerana menikam telinga rakan menggunakan pemutar skru. - NSTP/ ALIAS ABD RANI
Said dipenjara enam bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Batu Pahat kerana menikam telinga rakan menggunakan pemutar skru. - NSTP/ ALIAS ABD RANI

Tikam telinga rakan guna pemutar skru, pemandu lori dipenjara 6 bulan

BATU PAHAT: Pemandu lori dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menikam telinga rakannya menggunakan pemutar skru, kelmarin.

Said Herito, 57, yang dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa menggunakan pemutar skru sebagai senjata untuk melakukan jenayah yang mungkin menyebabkan kematian di Kampung Petani, Jalan Minyak Beku, di sini, pada jam 3 petang, kelmarin.

Hukuman bagi seksyen ini adalah penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, tertuduh dalam rayuan memohon hukuman diringankan memandangkan perlu menanggung dua anak, manakala pihak pendakwaan menyarankan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula tarikh ditahan.

Berita Harian X