Khamis, 28 March 2024 | 1:38pm
Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pekerja asing didalangi dua warga asing dalam satu Operasi Khas sekitar Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan Jabatan Imigresen
Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pekerja asing didalangi dua warga asing dalam satu Operasi Khas sekitar Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan Jabatan Imigresen

Lelaki Myanmar, Bangladesh dalang sindiket warga asing

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mendalangi sindiket ejen pekerja asing dengan menyalahgunakan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 untuk mengaut untung dalam serbuan di ibu kota, semalam.

Sindiket ini dipercayai mengenakan caj antara RM1,500 hingga RM2,000 kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mahu mendapatkan khidmat mereka.

Tangkapan hasil risikan selama dua minggu dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) susulan aduan yang diterima sebelum satu operasi khas digerakkan bermula pada jam 1.30 tengah hari.

Operasai khas itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pasukan operasi mengesan dan mengekori suspek sewaktu pertemuannya dengan seorang lagi suspek di satu lokasi sekitar Jalan Duta di sini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh. - Foto fail NSTP
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh. - Foto fail NSTP

Rentetan itu, katanya pasukan operasi menahan seorang lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh, masing-masing berusia 50 hingga 52 tahun yang disyaki dalang utama sindiket terbabit.

"Semakan mendapati suspek warga Myanmar berstatus Pemastautin Tetap (PR), manakala suspek warga Bangladesh memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi sektor perkhidmatan yang masih sahlaku.

"Semakan turut mendapati, kedua-dua suspek ini telah berkahwin dengan wanita tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi tangkapan itu, Imigresen merampas wang tunai RM91,550, 12 pasport Bangladesh, satu pasport Indonesia, dokumen syarikat, dokumen permohonan program RTK serta tiga telefon bimbit.

"Modus operandi sindiket adalah menjalankan aktiviti sebagai ejen pekerja asing bagi program RTK 2.0 dengan menyasarkan warganegara sumber seperti Bangladesh dan Indonesia.

"Sindiket ini menawarkan perkhidmatan seperti urusan pendaftaran permohonan program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen dan dipercayai telah menjalankan operasi selama satu tahun.

"Bayaran yang dikenakan bagi setiap pekerja asing ini di antara RM1,500 hingga RM2,000," katanya.

Ruslin berkata kedua-dua suspek kini ditahan di Depoh Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, Imigresen memberikan notis kepada tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.

"Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.

Berita Harian X