Khamis, 28 March 2024 | 9:55am
Foto hiasan
Foto hiasan

Hukuman mati lelaki bunuh warga Australia diringankan kepada penjara 35 tahun

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan meringankan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang membunuh ahli perniagaan Australia kelahiran Jerman lebih dua dekad lalu kepada penjara 35 tahun.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Zabariah Mohd Yusof turut memerintahkan Low Kian Boon yang kini berusia 39, dikenakan 12 sebatan kerana membunuh Hans Herzog pada 12 November 2003.

Hakim mengarahkan hukuman penjara Kian Boon bermula daripada tarikh tangkapan pada 13 November 2003.

Selain Zabariah, dua lagi hakim yang turut mendengar prosiding itu adalah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

FMT melaporkan kes Kian Boon dibawa di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Penjara Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, yang memberi pilihan kepada hakim untuk mengenakan hukuman penjara atau hukuman mati.

Kian Boon berusia 18 tahun ketika dia membunuh Herzog bersama seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dibebaskan selepas menerima pengampunan diraja pada September 2020.

Peguam mewakili Kian Boon, Edmund Bon, meminta pihak mahkamah mengenakan hukuman penjara antara 30 dan 32 tahun ke atas anak guamnya, sambil menambah bahawa anak guamnya itu telah dipenjarakan selama lebih 20 tahun dan tidak menerima jawapan kepada dua permohonan pengampunan.

Peguam hak asasi manusia itu berkata, hukuman mati harus dikhaskan hanya untuk kes paling jarang berlaku seperti pembunuhan bersiri atau rogol dan pembunuhan bayi.

Bon berkata apabila Parlimen meminda undang-undang, ia bertujuan agar hakim bersandar kepada anggapan hidup, tertakluk kepada keadaan yang meringankan.

Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad menggesa pihak mahkamah mengekalkan hukuman mati kerana pembunuhan Herzog mengerikan dan mangsa mengalami beberapa luka tetakan.

Herzog dibunuh di rumahnya di USJ di Subang Jaya, pada awal pagi 12 November 2003.

Fakta kes mendedahkan Herzog terbabit dalam pergelutan dengan penceroboh, di mana dia mengalami 23 luka tetakan yang menyebabkannya maut.

Mukanya dikelar dan tangan kanannya hampir putus. Polis turut menemui sebilah pisau panjang di birai tingkap yang dipercayai digunakan penyerang untuk keluar masuk rumah.

Pada mulanya, Kian Boon serta remaja lelaki berusia 17 tahun itu menerima pengampunan diraja dan dua beradik perempuan berusia 14 dan 16 tahun, didakwa dengan pembunuhan Herzog.

Herzog berkahwin dengan ibu saudara perempuan itu.

Mahkamah Tinggi membebaskan gadis terbabit tetapi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Kian Boon dan remaja lelaki terbabit kerana menyebabkan kematian berikutan terdapat keraguan mengenai siapa yang memukul mangsa hingga mati.

Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan dua beradik perempuan itu.

Mahkamah Rayuan kemudiannya mendapati Kian Boon dan remaja lelaki itu bersalah kerana membunuh.

Hasilnya, Kian Boon dijatuhi hukuman mati, manakala pesalah kanak-kanak itu diperintahkan untuk ditahan di penjara atas perkenan Sultan Selangor.

Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan itu pada 17 Mac 2010.

Berita Harian X