Rabu, 27 March 2024 | 11:46pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Polis tahan lelaki disyaki abai kanak-kanak

SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki tempatan di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson dekat sini semalam bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan daripada Hospital Port Dickson, Ahad lalu yang memaklumkan mangsa berada dalam keadaan kritikal akibat terjatuh daripada kenderaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 15 Mac lalu kira-kira jam 8.30 malam ketika suspek yang dipercayai teman lelaki kepada ibu mangsa berusia 38 tahun itu ingin membuka pintu van semasa berhenti di sebuah kedai, dalam perjalanan dari Taman Anggerik ke Taman Mayung, Telok Kemang.

"Susulan daripada kejadian itu, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian anggota badan dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar di sini pada jam 6.04 petang semalam," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Aidi Sham berkata, hasil semakan rekod lampau terhadap lelaki terbabit mendapati dia mempunyai tiga rekod jenayah manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.

Beliau berkata, suspek direman selama enam hari sehingga 1 April ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - BERNAMA

Berita Harian X