Selasa, 26 March 2024 | 6:57pm
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tiga kiri) bersama Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad, Zaini Yahman (kanan) melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersil Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. - NSTP/L MANIMARAN
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tiga kiri) bersama Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad, Zaini Yahman (kanan) melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersil Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. - NSTP/L MANIMARAN

'Yang datang buat laporan cuma doktor yang ditohmah dalam surat layang' - Polis Perak

IPOH: Polis belum menerima laporan mana-mana mangsa berkaitan isu surat layang tular mendakwa salah laku gangguan seksual dan ugutan membabitkan kakitangan perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata laporan hanya diterima daripada lima doktor yang nama mereka dikaitkan dengan tohmahan surat layang terbabit.

"Kita menerima lima laporan daripada doktor yang mendakwa ditohmah dalam surat layang itu dan tiada laporan daripada doktor pelatih yang didakwa menjadi mangsa kes ea terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pencegahan Jenayah Komersil Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Terdahulu, polis menyiasat dakwaan tular menerusi surat layang itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (dakwaan fitnah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dilapor berkata, siasatan dibuat berdasarkan laporan polis diterima pada 16 Mac lalu daripada seorang doktor lelaki hospital itu berusia 43 tahun mengenai penularan surat layang yang memburukkan namanya.

Surat layang itu menuduh pengadu dan beberapa kakitangan hospital berkenaan melakukan gangguan seksual terhadap beberapa doktor pelatih di Jabatan Ortopedik hospital sama.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, polis mengambil keterangan 19 orang berhubung tindakan sekumpulan pihak didakwa menggunakan bom ikan di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor di Gerik, Hulu Perak.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 dan mereka yang dipanggil termasuk yang berada dalam video tular itu.

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab didakwa mengebom dan merenjat ikan termasuk ikan kelah membangkitkan kemarahan penduduk setempat.

Berdasarkan klip video tular, beberapa lelaki dipercayai penggiat aktiviti pacuan empat roda dipapar meraikan kejayaan memperoleh jumlah tangkapan ikan kelah dalam kuantiti banyak.

Berita Harian X