Selasa, 26 March 2024 | 10:59am
Motosikal dan kereta yang musnah dalam kebakaran di Taman Mas Suria. Foto ihsan pembaca
Motosikal dan kereta yang musnah dalam kebakaran di Taman Mas Suria. Foto ihsan pembaca

Kereta, dua motosikal musnah dalam kebakaran rumah

SUNGAI PETANI: Sebuah kereta Honda Accord dan dua motosikal musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Taman Mas Suria, di sini tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ismail Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 12.26 tengah malam.

Beliau berkata, sepasukan 16 anggota dari BBP Sungai Petani diketuai Syamsol Muin tiba di lokasi bagi memadam kebakaran dan operasi tamat pada jam 1.36 pagi tadi.

"Setibanya di tempat kejadian, komander operasi melaporkan terdapat kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas A yang terbakar 30 peratus.

"Namun kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kereta Honda Accord terbakar 70 peratus, manakala dua motosikal iaitu Honda EX-5 dan Honda C70 masing-masing 80 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, api berjaya dikawal pada jam 12.41 tengah malam dan ketika kejadian, tiada mangsa dalam rumah itu.

Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X