Isnin, 25 March 2024 | 12:52pm
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima sempena Hari Polis ke-217 di IPK Kedah. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima sempena Hari Polis ke-217 di IPK Kedah. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

Polis masih siasat punca sebenar kematian lelaki dalam ladang sawit

ALOR SETAR: Polis sedang mengumpul maklumat bagi mengetahui punca kematian, susulan penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar di ladang kelapa sawit Bukit Karung dekat Semeling, Sungai Petani, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata setakat ini polis sudah menemubual keluarga mangsa dan siasatan masih dilakukan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, mayat lelaki tempatan itu berusia sekitar 60-an dan dipercayai orang kurang upaya (OKU).

"Kita tengok tiada unsur-unsur jenayah dan setakat ini kes klasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun siasatan masih sedang dijalankan.

"Bedah siasat mayat lelaki terbabit dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Sabtu lalu. Bagaimanapun keputusan penuh hasil laporan belum diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sempena Peringatan Hari Polis ke 217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki tanpa identiti dengan kesan terbakar ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling di sini, Jumaat lalu.

Mayat lelaki yang dipercayai terbakar lebih 90 peratus itu ditemui oleh seorang penjaga kebun buah-buahan sekitar jam 11 pagi hari kejadian sewaktu dia sedang menghalau kera yang memasuki kebunnya.

Berita Harian X