Isnin, 25 March 2024 | 11:38am
Ketua Polis Johor, M Kumar S Muthuvelu
Ketua Polis Johor, M Kumar S Muthuvelu

Ibu kelar mati bayi sendiri didakwa membunuh

JOHOR BAHRU: Wanita yang mengelar bayi lelaki berusia 18 bulan dalam kejadian di Taman Cahaya Masai dekat Pasir Gudang pada 16 Mac lalu, sudah didakwa atas tuduhan membunuh mangsa.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata wanita berusia 32 tahun itu didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 21 Mac lalu.

"Buat masa ini, mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk mendapatkan penilaian kesihatan terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil.

"Perintah mahkamah terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kebiasaannya penilaian kesihatan akan dibuat selama sebulan, namun sekiranya tempoh lebih lama diperlukan proses itu boleh mencapai sehingga tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 Tahun 2024 Peringkat Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Kumar berkata, pihaknya mengambil keterangan seramai 10 orang saksi dalam siasatan terhadap kejadian itu.

"Antara pihak yang telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuklah suami suspek, ahli keluarga dan jiran," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan kanak-kanak lelaki itu maut akibat dikelar di bahagian leher dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, dalam perkembangan kes berasingan, Kumar memaklumkan pihaknya tidak menerima laporan baru berhubung kes liwat seorang pemimpin sayap pemuda sebuah parti politik di Mersing.

Katanya setakat ini lima laporan polis dibuat membabitkan enam mangsa.

"Buat masa ini suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan lanjut oleh Pejabat Pendakwa Raya.

"Kita juga menasihatkan mangsa-mangsa kes sedemikian untuk tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan pembelaan terhadap kejadian yang menimpa mereka,"katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang naib ketua pemuda sebuah parti politik ditahan selepas disyaki terbabit dengan kes liwat membabitkan mangsa berusia antara 15 hingga 21 tahun.

Difahamkan, ada antara mangsa mendakwa telah diliwat suspek sejak 2017 hingga Februari lalu.

Berita Harian X