Sabtu, 23 March 2024 | 11:43pm
Kebakaran di sebuah kedai menjual kereta menyebabkan lima kenderaan dan sebuah kontena musnah di Jalan Bundusan. - Foto ihsan pembaca
Kebakaran di sebuah kedai menjual kereta menyebabkan lima kenderaan dan sebuah kontena musnah di Jalan Bundusan. - Foto ihsan pembaca

Lima kereta musnah, premis jual kenderaan terbakar

PENAMPANG: Lima kereta musnah dalam kebakaran di sebuah premis menjual kenderaan di Jalan Bundusan, di sini, petang tadi.

Kejadian turut menyebabkan sebuah kontena terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 petang.

Katanya, 36 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran membabitkan sebuah kedai kereta jenis tidak kekal terbakar 80 peratus," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran, tiga pancutan dari sumber air jentera, dengan api dapat dikawal sepenuhnya jam 7.10 malam," katanya memaklumkan punca kejadian serta dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X