Sabtu, 23 March 2024 | 7:19pm
Anggota bomba membantu mengeluarkan lelaki warga Myanmar yang terjatuh ke bawah tebing di Kampung Tanjung Sik. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba membantu mengeluarkan lelaki warga Myanmar yang terjatuh ke bawah tebing di Kampung Tanjung Sik. - Foto ihsan Bomba

Bomba bantu lelaki Myanmar, motosikal jatuh tebing

SIK: Seorang lelaki warga Myanmar cedera selepas motosikal ditunggangnya terjatuh ke bawah tebing sedalam kira-kira empat meter di Kampung Tanjung Sik, di sini hari ini.

Kejadian disedari orang awam yang ternampak motosikal mangsa tersangkut pada pokok sebelum memaklumkannya kepada pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.32 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Mat Zuki Mat Noh tiba di lokasi bersama lapan anggota.

"Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung untuk dibawa ke tebing sebelum mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

"Mangsa berusia 40-an itu luka pada muka dan cedera pada kaki serta tangan," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X