Sabtu, 23 March 2024 | 6:15pm
Anggota bomba sedang bertungkus lumus memadam kebakaran dua kilang di Taman Kajang Utama, petang tadi. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Anggota bomba sedang bertungkus lumus memadam kebakaran dua kilang di Taman Kajang Utama, petang tadi. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Kilang perabot, produk kimia terbakar

KUALA LUMPUR: Dua bangunan kilang, masing-masing kilang perabot dan kilang produk kimia di Jalan Seksyen 1/22 Taman Kajang Utama, Kajang dekat sini terbakar, hari ini.

Kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 3.05 petang tadi, membabitkan dua blok bangunan kilang industri kecil yang beroperasi di bangunan kelas A teres satu tingkat.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, BBP Serdang, BBP Bandar Tun Hussein Onn dan BBP Bangi bersama 23 pegawai dan anggota dengan enam jentera digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Operasi pemadaman kebakaran diketuai Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Jalizad Jalil bersama Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Salleh Bahran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata blok pertama membabitkan lima lot premis terbakar 20 peratus di bahagian belakang akibat bahang api.

"Kebakaran di blok kedua membabitkan tiga lot premis kilang, masing-masing berkeluasan 1,440 kaki persegi dengan kerosakan kira-kira 90 peratus.

"Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran dengan menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan dua jentera Water Tanker," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak kira-kira jam 4.05 petang.

"Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X