Sabtu, 23 March 2024 | 3:28pm
Chiok Wai Loong dibawa ke di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) Kuala Lumpur di Kuala Lumpur atas pertuduhan kes posting menghina agama Islam. - Foto BH
Chiok Wai Loong dibawa ke di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) Kuala Lumpur di Kuala Lumpur atas pertuduhan kes posting menghina agama Islam. - Foto BH
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyalahkan sepenuhnya rangkaian kedai serbaneka dalam isu menghina agama.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyalahkan sepenuhnya rangkaian kedai serbaneka dalam isu menghina agama.

Polis bertindak pantas terhadap orang biasa - Lawyers for Liberty

KUALA LUMPUR: Lawyers for Liberty (LFL) mempersoal tindakan pantas terhadap orang biasa berhubung ulasan mereka berkenaan isu stoking tertera kalimah Allah.

Pengarah kumpulan hak asasi manusia itu, Zaid Malek, merujuk hukuman penjara dan denda dikenakan ke atas Chiok Wai Loong dan Ricky Shane Cagampang yang didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 kerana memuat naik hantaran menyinggung perasaan di Facebook.

"Pertama, hukuman penjara enam bulan keterlaluan bagi pesalah kali pertama. Mahkamah seharusnya memutuskan kes berdasarkan fakta dan mengabaikan publisiti yang menyelubungi kes itu.

"Mahkamah Tinggi diharap campur tangan melalui bidang kuasa semakan kehakiman untuk mengetepikan hukuman keterlaluan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seterusnya Zaid meluahkan kekecewaannya apabila Wai Loong tidak diwakili peguam ketika dibicarakan dan beliau mempersoal sama ada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan atau Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam dimaklumkan keadaan tertuduh.

Selain itu, LFL turut menyuarakan mengenai kebocoran butiran peribadi Wai Loong secara dalam talian yang menyebabkan sekumpulan individu menjejakinya dan menakut-nakutkannya supaya membuat pengakuan.

"Wai Loong ditangkap, didakwa serta dipenjarakan dengan pantas. Namun, adakah tindakan sama diambil terhadap kumpulan terbabit kerana bertindak mengikut undang-undang sendiri dan cenderung melakukan kesalahan," katanya.

Zaid berkata, tindakan kumpulan terbabit boleh dianggap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan (melakukan ugutan jenayah), seksyen 505(b) (menyebar berita palsu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan merangkumi sebaran berita palsu secara bertulis atau lisan, manakala Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia membabitkan kes sebaran dalam talian.

"Mengapa polis bertindak begitu pantas terhadap tertuduh, tetapi tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan yang mencetuskan gangguan," katanya.

Dalam pada itu, Zaid mengkritik sikap pihak berkuasa kerana dilihat kurang berminat mengambil tindakan ke atas orang politik yang dianggap menghasut dan memanaskan isu terbabit.

Katanya, ahli politik khususnya dari UMNO menghangatkan isu tersebut dan menyalahkan sepenuhnya rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart.

"Ini membawa kepada kempen 'samseng' yang aktif terhadap sesiapa saja yang membuat komen mengenai isu itu yang mungkin dianggap tidak sensitif oleh kumpulan terbabit," katanya.

Berita Harian X