Jumaat, 22 March 2024 | 3:41pm
Lapan rumah terbakar di Kampung Haji Baki dengan empat daripadanya musnah keseluruhan manakala empat lagi terbakar 30 peratus. - Foto NSTP/Ihsan JBPM
Lapan rumah terbakar di Kampung Haji Baki dengan empat daripadanya musnah keseluruhan manakala empat lagi terbakar 30 peratus. - Foto NSTP/Ihsan JBPM

20 hilang tempat tinggal menjelang Aidilfitri

KUCHING: Seramai 20 penghuni empat rumah di Kampung Haji Baki di sini, hilang tempat tinggal menjelang perayaan Aidilfitri apabila kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran, hari ini.

Turut terjejas dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, 21 penghuni empat lagi rumah yang terbakar kira-kira 30 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.22 pagi.

Menurutnya, 28 anggota dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 6.38 pagi dan semua penghuni berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami mangsa," katanya.

Berita Harian X