Khamis, 21 March 2024 | 4:38pm
Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai.
Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai.

Polis nafi lambat bertindak siasat kes Zayn Rayyan

PETALING JAYA: Polis menafikan lambat bertindak dalam menyiasat kes pembunuhan kanak-kanak autisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin seperti didakwa sesetengah pihak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebaliknya menegaskan pihaknya telah bertungkus-lumus mengesan Zayn Rayyan sejak hari pertama dilaporkan hilang sehingga membawa penemuan mayat kanak-kanak malang berkenaan.

Beliau juga menegaskan semua pihak boleh menilai usaha yang dilakukan pihak polis sepanjang siasatan.

"Sejak hari pertama laporan diterima, semua pihak bertungkus-lumus... polis sudah buat yang terbaik.

"Malah kita secara terbuka memaklumkan perkembangan siasatan serta menyeru pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya hari ini.

Mengulas lanjut siasatan kes itu, Hussein berkata pihaknya telah melihat dari pelbagai sudut termasuk teknikal untuk mengesan suspek pembunuhan anak sulung kepada pasangan Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan itu.

Beliau berkata, antaranya melibatkan alamat protokol internet (IP) yang dikesan di lokasi penemuan mayat serta cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dihantar ke Polis Antarabangsa (Interpol), namun masih tidak dapat membantu memberikan bukti jelas suspek yang terlibat dalam pembunuh itu.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini.

Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pelbagai usaha mengesan pelaku jenayah berkenaan dilakukan, namun sehingga kini pembunuh Zayn Rayyan belum berjaya dikesan. – BERNAMA

Berita Harian X