Khamis, 21 March 2024 | 4:28pm
Foto hiasan
Foto hiasan

RM3.46 juta lesap terpedaya penipuan pelaburan 'forex'

Nilai: Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM3.4 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan palsu membabitkan pertukaran mata wang asing atau 'forex'.

Mangsa, 6O, dihubungi sindiket melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan sebelum membuat 60 transaksi dengan jumlah RM3.46 juta ke pelbagai akaun.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menyemak laman sesawang pelaburan berkenaan, sebelum membuat laporan polis malam tadi.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Nilai membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis menasihatkan orang awam membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan," katanya.

Berita Harian X