Rabu, 20 March 2024 | 5:37pm
Anggota bomba sedang melakukan operasi pemadaman api dalam kebakaran di Kampung Keliangau 2, Tebobon, Menggatal. - Foto ihsan JBPM
Anggota bomba sedang melakukan operasi pemadaman api dalam kebakaran di Kampung Keliangau 2, Tebobon, Menggatal. - Foto ihsan JBPM

Anggota bomba wanita cedera terkena renjatan elektrik ketika padam kebakaran di Menggatal

KOTA KINABALU: Seorang anggota bomba wanita dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas mengalami kecederaan selepas terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran di Kampung Keliangau 2, Tebobon, Menggatal dekat sini hari ini.

Mangsa, Samantha Echa Sigah, 36, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) di sini untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi, berkata pihaknya menerima kecemasan mengenai kebakaran itu jam 10.05 pagi dan menggerakkan sepasukan anggota bersama jentera bomba dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian terletak kira-kira 10 kilometer dari balai berkenaan.

Beliau berkata, kebakaran itu membabitkan rumah serta sebuah bengkel persendirian dan turut terbakar sepenuhnya tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta Perodua Kancil.

"Operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam10.44

pagi," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Katanya operasi memadam kebakaran dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) turut berada di lokasi kejadian. – BERNAMA

Berita Harian X