Rabu, 20 March 2024 | 3:24pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Tetak lelaki dengan parang, 2 beranak dipenjara sebulan

BATU PAHAT: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap dua beranak yang mengaku bersalah menetak seorang lelaki menggunakan parang dalam pergaduhan di Parit Imam, di sini, awal bulan ini.

Pekerja kebun sawit, Tang Yu Thai, 39, dan bapanya, Tang Eng Kong, 65, yang juga pemandu jengkaut membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 42 tahun menggunakan parang di Kampung Parit Imam, di sini, pada jam 9.16 malam, 5 Mac lalu, yang sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Mengikut fakta kes, mangsa dalam kes ini ke sebuah kedai runcit untuk membeli rokok, namun berlaku perselisihan faham dengan Yu Thai yang menyebabkan berlaku pergelutan.

Bapa tertuduh yang melihat kejadian itu kemudian datang membantu anaknya sambil membawa parang.

Dua beranak itu kemudian menetak mangsa di kepala hingga cedera dan mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut serta membuat laporan polis.

Susulan laporan dibuat mangsa, polis berjaya menahan dua beranak itu pada 6 Mac.

Pendakwaan kes itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid, manakala dua beranak itu diwakili peguam Tan Song Yan.

Terdahulu pihak pembelaan dalam rayuan bagi pihak tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling minimum, namun pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal wajar dikenakan kerana mengambil kira fakta kes apabila kedua-dua tertuduh masih mengejar mangsa yang cedera dengan parang.

Berita Harian X