Selasa, 19 March 2024 | 4:51pm

2 lelaki rompak kad tambah nilai di kedai serbaneka kena jel 6 tahun

MELAKA: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan atas kesalahan merompak berkumpulan terhadap sebuah kedai serbaneka tahun lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas menerima pengakuan bersalah dan mensabitkan tertuduh, Muhammad Fickri Mohd Hafis, 26, dan Muhammad Al-Azim Rosli, 28, seperti pertuduhan.

Rohatul Akmar dalam penghakimannya turut menimbangkan fakta kes, rayuan kedua-dua tertuduh dan hujah pemberatan hukuman oleh pendakwaan.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa dengan niat bersama melakukan rompakan berkumpulan dengan mengambil kad tambah nilai bernilai RM200 milik syarikat 7Eleven.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis kedai itu di Taman Sutera, Batu Berendam, dekat sini, pada 20 November lalu, kira-kira jam 5.30 pagi.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Muhammad Fickri turut mengaku salah atas pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 392 KK, iaitu merompak seorang wanita Vietnam, Htay Htay Lwin, dan melarikan dompet pengadu mengandungi dokumen serta wang tunai RM50.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Lorong B/U2, Taman Perindustrian Batu Berendam, dekat sini, pada 26 Disember 2020, kira-kira jam 6.15 petang.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan terhadap kedua-dua tertuduh bagi kesalahan Seksyen 395 KK.

Sementara itu, bagi pertuduhan Seksyen 392 KK, Muhammad Fickri dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan.

Mahkamah menetapkan semua hukuman berjalan serentak daripada tarikh ditangkap pada 30 November 2023 sekali gus Muhammad Fickri hanya perlu menjalani penjara enam tahun dan dua sebatan, manakala Muhammad Al-Azim, penjara enam tahun dan satu sebatan.

Berita Harian X