Selasa, 19 March 2024 | 3:05pm
Kok Chin menunjukkan tong gas yang digunakan sindiket untuk menyembunyikan syabu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. - NSTP/Nadim Bokhari
Kok Chin menunjukkan tong gas yang digunakan sindiket untuk menyembunyikan syabu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. - NSTP/Nadim Bokhari

Sumbat 21.7kg syabu dalam tong gas sebelum seludup ke negara jiran

KUCHING: Sindiket pengedaran dadah menggunakan pelbagai taktik untuk mengelirukan pihak berkuasa termasuk menyumbat bahan terlarang itu dalam tong gas sebelum ia diseludup menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand.

Taktik itu dikesan susulan serbuan di sebuah rumah di Miri pada Ahad lalu, dengan enam suspek termasuk dua wanita ditahan susulan kes itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, terdahulu dua lelaki ditahan dalam kereta di depan rumah terbabit sebelum serbuan ke dalam premis menemukan empat lagi suspek yang semuanya berusia antara 28 hingga 50 tahun.

"Pemeriksaan lanjut dalam rumah menemukan dadah jenis methamphetamine seberat 21.7 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM716,000 yang dibalut dengan plastik lutsinar dan disumbat dalam dua tong gas iaitu 10 paket dalam setiap tong.

"Mengikut harga pasaran semasa, harga sekilogram syabu Sarawak adalah RM33,000, namun boleh mencecah antara tiga hingga lima kali ganda di negara jiran," katanya pada sidang media hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan timbalannya, Datuk Ibrahim Darus; Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Salahuddin Che Ali serta Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu.

Kok Chin berkata, pihaknya percaya dadah terbabit dibawa masuk dari Semenanjung untuk dihantar ke Batu Lintang di Sri Aman sebelum diseludup ke negara jiran.

"Suspek pertama didapati menerima upah RM20,000 daripada sindiket yang mula beroperasi antara dua hingga tiga bulan lalu untuk merekrut ahli baharu bagi menghantar dadah, sebelum mengupah lelaki lain RM3,000 untuk menghantar dadah ke sempadan di Sri Aman," katanya.

Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM52,000, sejumlah barang kemas bernilai RM54,000 serta empat kenderaan menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.2 juta.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kok Chin berkata, ujian air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah, manakala semakan rekod lampau mendapati seorang daripada mereka memiliki rekod mengikut Seksyen 3(1) Langkah Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1953 iaitu sabung ayam.

Dalam kes berasingan pagi tadi, Kok Chin berkata, JSJN Sarawak menahan lelaki berusia 25 tahun dalam serbuan di Bintulu kira-kira jam 11 pagi dan merampas 10kg syabu bernilai berjumlah RM412,198.72 dalam kereta Mercedes Benz milik suspek.

"Suspek kemudian memandu arah polis ke sebuah rumah kedai di Bintulu di mana 170 paket jus disyaki ekstasi dan 577 gram pil ekstasi ditemui.

"Nilai rampasan dadah dalam kes ini berjumlah RM412,198.72 manakala kereta suspek bernilai RM150,000 dan seutas jam Rolex bernilai RM37,000 disita," katanya.

Berita Harian X