Ahad, 17 March 2024 | 5:03pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Lelaki cuba larikan budak perempuan diarah jalani pemeriksaan psikiatri

KUCHING: Seorang lelaki yang cuba melarikan seorang kanak-kanak perempuan di Jalan Lapangan Terbang pada Isnin lalu, diperintahkan dihantar ke Hospital Sentosa bagi menjalani penilaian psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuching selepas lelaki berusia 30 tahun itu dihadapkan di mahkamah, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata kes itu akan disebut semula pada 22 April ini selepas laporan perubatan diterima.

Beliau berkata, Isnin lalu polis menahan suspek yang cuba melarikan mangsa berusia lapan itu.

Katanya, penahanan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai cubaan lelaki terbabit melarikan mangsa.

"Ketika kejadian kira-kira jam 6.55 petang itu, kanak-kanak terbabit sedang bermain di luar rumahnya.

"Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza berwarna putih yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 365/511 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahsmon berkata, siasatan awal mendapati suspek adalah pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) bermasalah pembelajaran.

"Suspek juga pernah menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak sejak tahun 2001 kerana mengalami 'Attention Deficit Hyperactive Disorder' (ADHD), namun dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lalu," katanya.

Berita Harian X