Ahad, 17 March 2024 | 3:29pm

Kelar bayi: Ibu direman 7 hari

JOHOR BAHRU: Ibu yang mengelar anaknya berusia setahun enam bulan semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Permohonan reman dikeluarkan Majistret, Suhaili Sapuan di Hospital Permai Johor Bahru hingga Sabtu depan (23 Mac) terhadap wanita itu berusia 32 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, suspek dibawa ke Hospital terbabit bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, seorang ibu dipercayai mengelar bayi lelakinya di rumah mereka di Pasir Gudang, pada jam 1.30 petang semalam.

Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan telah menghantar gambar anaknya yang berlumuran darah pada leher melalui aplikasi WhatApps kepada suaminya.

Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat. Setakat ini motif dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

Berita Harian X