Sabtu, 16 March 2024 | 10:37pm
Tangkap layar video tular di media sosial
Tangkap layar video tular di media sosial

Polis siasat kes bom ikan di Perak selepas terima laporan baharu

IPOH: Polis tetap menyiasat kes sekumpulan individu yang didakwa menggunakan bom ikan di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor, di Gerik, Hulu Perak yang video mengenainya tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan yang pada mulanya diserahkan kepada Jabatan Perikanan dan Jabatan Perhutanan, akan juga mula dijalankan oleh polis susulan laporan yang baharu diterima hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan dengan melihat kepada pelbagai sudut, dengan memberi jaminan sebarang perkembangan kes itu akan dimaklumkan kemudian.

Ditanya sama ada siasatan polis menjurus kepada penggunaan bahan letupan, Mohd Yusri bagaimanapun berharap semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menyiasatnya terlebih dahulu.

"Biar kita siasat dulu, apa-apa perkembangan kes akan dimaklumkan (kemudian). Kita baru jalankan siasatan dan apa-apa perkembangan akan dikemas kini

"(Siasatan) kita akan lihat dari pelbagai sudut, laporan sudah dibuat (maka) kita jalankan siasatan," katanya ringkas sewaktu dihubungi hari ini.

Pagi tadi, sekumpulan individu hadir membuat laporan polis di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik berhubung isu berkenaan.

Yang turut hadir menyokong kumpulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor yang juga EXCO kerajaan negeri, Datuk Salbiah Mohamed dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Berita Harian X