Sabtu, 16 March 2024 | 10:01am
Kebakaran dikesan berlaku di bilik utama kediaman di bahagian atas kediaman serta bahagian dapur di tingkat bawah. - Foto Bomba Selangor
Kebakaran dikesan berlaku di bilik utama kediaman di bahagian atas kediaman serta bahagian dapur di tingkat bawah. - Foto Bomba Selangor

Suami isteri maut dalam kebakaran, bomba sempat selamatkan anak

KUALA LUMPUR: Suami isteri maut, manakala anak perempuan pasangan itu berusia 14 tahun terselamat selepas kediaman mereka di Jalan SS21/18 Damansara Utama, Petaling Jaya dekat sini, terbakar awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Kang Tsi Yam berusia 61 tahun dan isterinya, Leong Chen Mun, 55 tahun.

Rumah teres dua tingkat itu dilaporkan terbakar pada jam 5.13 pagi dan pihak bomba yang menerima laporan kejadian, menggerakkan pasukan pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara ke lokasi.

Sepasukan anggota daripada unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dari BBP Petaling Jaya turut digerakkan ke lokasi untuk membantu memadam kebakaran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata kebakaran dikesan berlaku di bilik utama kediaman di bahagian atas kediaman serta bahagian dapur di tingkat bawah.

"Terdapat tiga mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka terperangkap di dalam rumah ketika kebakaran berlaku.

"Anggota bomba di lokasi berjaya menyelamatkan remaja perempuan berusia 14 tahun, bagaimanapun kedua-dua ibu bapanya gagal diselamatkan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian membabitkan kediaman berkeluasan 20 x 70 kaki persegi dengan kebakaran memusnahkan kira-kira 70 peratus kediaman terbabit.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk bedah siasat dan buat masa ini pihak bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata Unit Anjing Pengesan (K9) bomba turut berada di lokasi bagi membantu siasatan.

Berita Harian X