Jumaat, 15 March 2024 | 3:05pm
Datuk Seri Najib Razak, diiringi pegawai Penjara tiba di mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewangan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Seri Najib Razak, diiringi pegawai Penjara tiba di mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewangan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

'Saya tidak percaya Jho Low gunakan duit 1MDB kerana dia sudah kaya' - Saksi

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, tidak pernah terlintas langsung di fikirannya, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah seorang penipu yang menggunakan dana 1MDB.

Loo ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau mempercayai Jho Low ketika itu kerana lelaki berkenaan seorang ahli perniagaan yang sudah kaya kerana selain memiliki syarikat UBG Berhad, Jho Low juga memiliki beberapa perniagaan lain dan berurusan dengan syarikat milik ahli perniagaan Arab.

Dalam keterangan sebelum ini, Jasmine berkata, beliau pernah bekerja di syarikat UBG dengan gaji bulanan kira-kira RM45,000 termasuk elaun kenderaan, elaun minyak dan elaun perjalanan, bermula 1 Januari 2009 hingga April 2011.

Menjawab pertanyaan lanjut daripada Muhammad Shafee sama ada selepas memahami keseluruhan cerita, beliau kini menyedari bahawa Jho Low sebenarnya seorang penipu, Loo menjawab, "Saya percaya apa yang saya percaya."

"Saya tidak percaya beliau melakukannya. Memahami keseluruhan cerita, ia nampak sangat sempurna walaupun ia sebenarnya tidak," katanya.

Disoal peguam kanan itu mengapa beliau mendengar cakap Jho Low, Jasmine berkata beliau diindoktrinasikan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan melalui permerhatiannya, bahawa lelaki terbabit (Jho Low) adalah jurucakap Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya lanjut sama ada Jho Low sendiri memberitahunya bahawa dia adalah jurucakap Najib, saksi ke-50 pendakwaan itu berkata, "Ya, apabila dia beritahu akan bercakap dengan Najib mengenai sesuatu, tidak lama kemudian perkara itu akan berlaku.

Katanya, Shahrol Azral tidak menyatakan dalam erti kata sebenar bahawa Jho Low adalah 'suara' Najib dan Jho Low sendiri tidak menyatakan beliau adalah 'imej' kepada Najib.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa, kenyataan itu dianggap sebagai khabar angin dan tiada bukti nyata untuk menyokong perkara itu, bagaimanapun saksi tetap dengan pendiriannya dengan menyatakan ia juga adalah berdasarkan pemerhatiannya.

Disoal sama ada beliau nampak atau mendengar apa yang Jho Low katakan kepada Najib, Loo menjawab, "tidak".

Beliau bagaimanapun berkata, kadang kala mendengar apa yang dibincangkan antara Shahrol Azral dan Jho Low.

Muhammad Shafee kemudian merujuk kepada data laporan dan pematuhan, serta kelulusan yang dibuat Najibbagi projek yang diluluskan pada hari sama ia dipersetujui oleh Lembaga Pengarah 1MDB.

Peguam itu mencadangkan bahawa ia adalah bukan satu kebiasaan, bagaimanapun saksi tidak bersetuju.

Muhammad Shafee seterusnya menyatakan projek dan transaksi 1MDB membabitkan urus niaga rumit di mana seseorang yang tidak mempunyai latar belakang korporat atau undang-undang memerlukan lebih masa untuk memahami perkara berkenaan.

Muhammad Shafee: Ini membabitkan perkara kewangan yang agak rumit. Walaupun Najib seorang yang bijak, beliau tidak mempunyai latar belakang korporat atau undang-undang.

Jasmine: Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya.

Shafee: Tetapi perkara ini diluluskan pada hari yang sama, dalam beberapa jam. Anda bersetuju bahawa adalah mustahil (untuk memahami isu dengan wajar?

Jasmine: Pemahaman saya ialah dia diberi taklimat awal dan pada hari itu (Najib) memberikan persetujuannya.

Muhammad Shafee: Siapa beritahu anda?

Jasmine: Shahrol dan Jho Low

Jasmine memberikan keterangan terhadap Najib, 70 yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Berita Harian X