Khamis, 14 March 2024 | 11:47pm

Lelaki bersih rumah jiran maut dihempap dinding konkrit

JERANTUT: Seorang lelaki maut selepas dihempap dinding konkrit sebuah rumah kosong di FELDA Kota Gelanggi Satu, dekat sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Azman Mat Kamis berkata Mohd Asri Azam, 41, ditemui mati di tempat kejadian kira-kira jam 8 malam.

"Ketika siasatan di tempat kejadian, mayat mangsa ditemui terbaring dalam keadaan mengiring di atas lantai manakala konkrit dinding berada di bahagian atas sisi badannya.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis. - Foto NSTP/Amir Hamzah Nordin
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis. - Foto NSTP/Amir Hamzah Nordin

"Hasil siasatan ke atas tubuh mangsa, tiada sebarang kecederaan atau kesan perbuatan khianat atau jenayah," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azman berkata mengikut maklumat ibu mangsa, Minah Mat Husin, 75, anak lelakinya memaklumkan pergi ke rumah kosong berhampiran rumah mereka itu kerana hendak membersihkan kawasan belakang.

Katanya, pada kira-kira jam 7 malam, ibunya memanggil anak lelakinya itu untuk pulang dan bersiap sedia berbuka puasa tapi tidak berjawab.

"Oleh kerana tiada maklum balas, ibunya pergi mencari mangsa dan menemuinya meninggal di atas lantai dengan dinding konkrit menghempap atas badan," katanya.

Azman berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat selepas ujian Covid-19 diketahui.

Katanya, punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian leher kesan dihempap dinding konkrit.

"Kematian itu diklasifikasikan mati mengejut (SDR)," katanya.

Berita Harian X