Ahad, 10 March 2024 | 3:59pm
Pasukan SAR menjalankan kerja-kerja pencarian mangsa secara permukaan di Sungai Batang Baleh. - Foto ihsan bomba
Pasukan SAR menjalankan kerja-kerja pencarian mangsa secara permukaan di Sungai Batang Baleh. - Foto ihsan bomba

Satu lagi mayat mangsa bot karam ditemui

KUCHING : Seorang lagi mangsa bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit, petang Khamis lalu, disahkan lemas.

Mayat mangsa, Amerson John Nain, ditemui terapung di Sungai Batang Lebaan, Sibu, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarganya di Hospital Kapit, pada jam 12 tengah hari ini.

"Susulan penemuan mayat ketiga itu, kini pencarian masih diteruskan untuk mengesan seorang lagi mangsa iaitu Konstabel Iskandar Ibrahim," katanya.

Terdahulu, dua mayat yang ditemukan semalam disahkan iaitu Jack Balan yang ditemui terapung oleh anggota polis di Pulau Kerto, Sibu pada jam 10 pagi.

Mayat kedua, Sarjan Jonathan Lambet, pula ditemui terapung oleh anggota bomba pada jam 4.02 petang kira-kira lima kilometer dari lokasi bot karam di Sungai Batang Baleh

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.

Salah seorang berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi hilang dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit kerana mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.

Berita Harian X