Ahad, 10 March 2024 | 1:42pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Mayat lelaki dengan kesan kecederaan ditemukan di Sungai Klang

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemukan tersangkut pada tiang paip air di Sungai Klang berhampiran tanah perkuburan Bukit Tandang, Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu kira-kira 9 pagi.

"Mayat yang masih lengkap berpakaian itu ditemukan tertiarap di dalam air dan tiada pengenalan diri ditemukan bersama mangsa.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan luka pada dahi, luka lelasan pada kedua-dua tangan dan lebam pada rusuk kiri mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata tiada senjata ditemukan di lokasi kejadian dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan.

Kes disiasat sebagai mati mengejut dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Serdang hari ini bagi mengenal pasti punca kematian, katanya. – BERNAMA

Berita Harian X