Sabtu, 9 March 2024 | 6:16pm
Pasukan bomba dari BBP Bahau melakukan operasi mencari dan menyelamat lima individu sesat ketika mendaki Bukit Penarikan di Bahau, hari ini. - Foto BOMBA
Pasukan bomba dari BBP Bahau melakukan operasi mencari dan menyelamat lima individu sesat ketika mendaki Bukit Penarikan di Bahau, hari ini. - Foto BOMBA

4 wanita sesat tak jumpa laluan pendakian Bukit Penarikan

JEMPOL: Empat wanita dan seorang lelaki sesat selepas gagal menemukakan laluan pendakian selepas mendaki Bukit Penarikan di Bahau, dekat sini, tengah hari tadi.

Mereka berusia 14 hingga 21 tahun, termasuk seorang lelaki terpaksa membuat panggilan kecemasan kepada bomba lebih kurang jam 1.42 tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bahau kemudian dihantar ke lokasi bagi kerja mencari dan menyelamat (SAR).

"Pasukan SAR mengambil masa lebih kurang 20 minit sebelum menemukan kesemua mangsa, kira-kira 200 meter dari titik mula pendakian. Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya hari ini.

Penduduk kampung memberitahu, sepanjang minggu ini, dua kejadian pendaki sesat selepas mendakwa tidak jumpa jalan turun sebaik melakukan pendakian di bukit berkenaan.

"Ada penduduk turut mendengar jeritan kumpulan pendaki meminta tolong dari arah kebun kelapa sawit di bukit itu, sebelum ada yang dibawa turun oleh penduduk dan ada yang menelefon bomba," katanya.

Berita Harian X