Jumaat, 8 March 2024 | 10:38pm
Pasukan SAR yang menjalankan kerja-kerja pencarian mangsa secara permukaan di Sungai Batang Baleh, petang tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Pasukan SAR yang menjalankan kerja-kerja pencarian mangsa secara permukaan di Sungai Batang Baleh, petang tadi. NSTP/Ihsan Bomba

Air naik, keruh dan arus deras sukarkan operasi kesan mangsa bot karam

KAPIT: Paras air naik, keruh dan arus deras hari ini menjadi cabaran kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan empat mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh, di sini petang semalam.

Ketua Bomba Zon Sibu, Andy Alie, berkata kayu dan sampah sarap yang hanyut turut mengehadkan penglihatan di dalam air pada jarak hanya satu meter.

Bagaimanapun, katanya, kesabaran dan pengalaman luas yang dimiliki anggota pasukan SAR membolehkan operasi dijalankan tanpa kejadian tidak diingini.

"Begitupun, operasi hari kedua hari ini masih gagal menemukan mangsa termasuk dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit iaitu Sarjan Jonathan Lambet daripada cawangan Kebajikan dan Konstabel Iskandar Ibrahim daripada cawangan Persenjataan," katanya.

Kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dengan 1050rds bahan peledak, dilaporkan untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.

Dua lagi mangsa ialah orang awam yang masih hilang iaitu Amerson John Nain, 47, dan Jack Balan, 45, manakala seorang lagi orang awam, Moses Ngui, 47, berjaya diselamatkan orang ramai semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, bot gentian kaca dilengkapi enjin sangkut 30 kuasa kuda yang dinaiki mangsa merempuh pusaran air berdekatan Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh sebelum karam.

Dalam pada itu, Andy berkata, operasi mencari dan menyelamat di Sungai Rajang hari ini disertai Bomba, Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) bermula dari lokasi kejadian hingga ke daerah Song.

"Pada jam 6 petang tadi operasi ditangguhkan ke esok hari disebabkan hujan lebat serta keadaan semakin gelap," kata Andy.– BERNAMA

Berita Harian X