Jumaat, 8 March 2024 | 4:16pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Gaduh akibat hutang RM30, lelaki cedera ditikam rakan

Petaling Jaya: Akibat hutang RM30, dua sahabat bergaduh sebelum seorang daripadanya luka ditikam dan dikelar menggunakan pisau.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 malam kelmarin ketika suspek yang berusia lingkungan 20-an datang ke rumah mangsa di Sungai Way, di sini, untuk menuntut hutang terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, suspek dikatakan tidak berpuas hati apabila mangsa enggan membayar hutang berkenaan sebelum berlaku pergelutan.

"Suspek yang marah mengeluarkan pisau dan beberapa kali menikam dada mangsa, selain turut mengelar leher rakannya itu.

"Mangsa yang menjerit kesakitan kemudian melarikan diri ke dalam rumah dan meminta bantuan rakan serumah," katanya ketika dihubungi.

Susulan kejadian itu, Shahrulnizam berkata, polis yang menerima maklumat kemudian menahan suspek kira-kira 1 pagi di kediamannya yang terletak selang beberapa rumah dengan mangsa.

"Mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan keadaannya stabil dengan luka kecederaan juga sudah dijahit.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan lelaki itu direman sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X