Jumaat, 8 March 2024 | 1:31pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Suami isteri ditahan edar lebih 2kg dadah

SHAH ALAM: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas sejumlah lebih dua kilogram dadah pelbagai jenis dalam serbuan terhadap sebuah rumah di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata serbuan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan jam 2.20 petang pada 29 Februari lalu.

"Dalam serbuan itu, pasangan suami isteri warga tempatan berumur 32 dan 35 tahun yang mengedar dadah itu di rumah sewa mereka itu.

"Di rumah berkenaan, polis menemui dan merampas dua ketulan mampat dadah jenis ganja (1,084.5 gram), 15 paket plastik lutsinar dadah jenis syabu (197 gram), 600 paket plastik lutsinar dadah jenis heroin (793 gram) yang dianggarkan bernilai kira-kira RM60,000.

"Polis turut merampas satu penimbang digital, satu plastik pembungkusan saiz kecil serta pelbagai wang tunai," katanya dalam sidang media di IPD Klang Selatan, di sini hari ini.

Hoong Fong berkata, saringan ujian air kencing ke atas pasangan suami isteri itu negatif, namun suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau.

"Siasatan mendapati, modus operandi suspek adalah membuat kerja-kerja pembungkusan sebaik menerima tempahan dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes berasingan pula katanya, seorang tempatan berumur 28 tahun ditangkap di sebuah hotel di sini bersama 100 paket dadah serbuk ecstacy, hujung bulan lalu.

"Siasatan mendapati, dadah dengan anggaran berat 4,582 gram itu dianggarkan bernilai RM229,100.

"Hasil maklumat risikian, polis percaya dadah terbabit daripada Ulu Tiram, Johor untuk pasaran tempatan di sekitar kawasan Klang.

"Polis akan sentiasa memantau penyalahgunaan dadah dan membuat tangkapan terhadap pengedar dan penagih dadah di daerah ini," katanya.

Berita Harian X