Khamis, 7 March 2024 | 10:29pm
Pasukan SAR yang menjalankan kerja-kerja pencarian mangsa secara permukaan di Sungai Batang Baleh petang tadi. Foto Ihsan Bomba
Pasukan SAR yang menjalankan kerja-kerja pencarian mangsa secara permukaan di Sungai Batang Baleh petang tadi. Foto Ihsan Bomba

Bot karam di Kapit, empat dilaporkan hilang

KAPIT: Empat orang dilaporkan hilang manakala seorang terselamat dalam kejadian bot karam berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong di Sungai Batang Baleh, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timothy Barat, berkata mangsa yang berjaya diselamatkan oleh orang awam dikenali sebagai Moses Ngui berusia 47 tahun.

"Empat mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Iskandar Ibrahim, Jonthan Lambet, Amerson John Nain dan Jack Balan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari BBP Kapit dikerah ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima makluman berhubung insiden pada jam 5.24 petang.

Jelasnya, maklumat awal daripada saksi kejadian mendapati kejadian jam 5 petang itu membabitkan bot berkuasa tinggi dilihat karam berhampiran perairan Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.

"Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba memulakan usaha SAR menggunakan teknik pencarian secara permukaan dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat," katanya.

Atas faktor keselamatan, katanya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.50 petang dan akan disambung esok.

Berita Harian X