Khamis, 7 March 2024 | 4:12pm
Ahmad Sukarno bersama kenderaan suspek serta kabel yang disyaki dicuri di tapak projek pembinaan. - Foto NSTP/ Nor Azizah Mokhtar
Ahmad Sukarno bersama kenderaan suspek serta kabel yang disyaki dicuri di tapak projek pembinaan. - Foto NSTP/ Nor Azizah Mokhtar

Din Beringin aktif curi kabel ditahan, rakan diburu

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki aktif mendalangi kegiatan curi kabel, besi tembaga dan aluminium di beberapa tapak projek pembinaan sekitar ibu kota, ditahan 3 Mac lalu.

Kegiatan suspek dikenali sebagai Din Beringin terbongkar ekoran laporan yang diterima polis berkaitan kes curi kabel di Taman Pelangi, Sentul di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata laporan dibuat pada 9.25 pagi 28 Februari lalu daripada seorang lelaki tempatan berkaitan kecurian kabel di sebuah loji di lokasi terbabit.

Katanya, siasatan mendapati kejadian kecurian berlaku kira-kira jam 10 pagi, sehari sebelum kejadian.

"Hasil risikan, kita berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun di Jalan Indah 1, Jinjang Utara pada 3 Mac lalu.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan 11 kes dadah dan tiga kesalahan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta, dua telefon bimbit pelbagai jenama, satu guni yang mengandungi beberapa gulung wayar kabel warna hitam yang sudah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memotong kabel.

Ahmad Sukarno berkata hasil siasatan mendapati suspek aktif melakukan kegiatan itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.

"Sindiket dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu menyasarkan kabel, besi tembaga dan aluminium di kawasan tapak projek pembinaan.

"Hasil barang-barang yang dicuri itu akan dijual semula di kedai besi buruk untuk mendapatkan wang bagi tujuan membeli dadah," katanya.

Menurut Ahmad Sukarno, pihak polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.

Kata beliau, susulan daripada penahanan suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes kecurian kabel, besi tembaga dan almunium yang dilaporkan di sekitar ibu kota.

Dalam pada itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkait kes kecurian kabel ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03- 40482222.

Berita Harian X