Khamis, 7 March 2024 | 3:13pm
Ahmad Sukarno menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas. - Foto NSTP/ Nor Azizah Mokhtar
Ahmad Sukarno menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas. - Foto NSTP/ Nor Azizah Mokhtar

12 geng 'runner' dadah ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 12 individu termasuk lima wanita yang dipercayai aktif mengedar dadah jenis ganja dalam serbuan berasingan di Lembah Klang pada 26 Februari hingga 2 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata kesemua suspek berusia 25 hingga 43 tahun itu disyaki berperanan sebagai 'runner' untuk menghantar dadah berkenaan ke Lembah Klang dan ke selatan tanah air.

Menurutnya, menerusi serbuan itu, polis turut merampas keseluruhan lebih 18 kilogram (kg) dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM68,375.

"Dalam serbuan pertama, kita menahan seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Kuching pada jam 12.30 tengah hari, 26 Februari lalu.

"Kita merampas lima plastik lutsinar berisi bahan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 3.4kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, hasil soal siasat, pihaknya menahan empat lelaki dan lima wanita serta merampas 23 plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis seberat 6.6kg di sebuah kondominium di Jalan Gombak, di sini pada jam 1 petang, hari sama.

"Kesemua suspek dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Sentul dan Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.

Ahmad Sukarno berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki di kawasan sebuah kondominium di Sentul pada jam 4.18 petang, pada 27 Februari lalu.

"Kita turut merampas dadah jenis kanabis dianggarkan seberat 276.5 gram," katanya.

Seterusnya, pihak polis menerima maklumat seorang 'runner' sedang membawa bekalan dadah diambil dari pembekal di Pantai Timur.

"Susulan itu, kita berjaya menahan seorang lagi lelaki di sebuah kondominium di Ibu kota pada jam 7 pagi 2 Mac lalu.

"Hasil serbuan itu, merampas lapan plastik lutsinar berisi ketulan mampat yang disyaki dadah jenis ganja yang dianggarkan seberat 8.2kg," katanya.

Ahmad Sukarno berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti modus operandi dan mengesan anggota sindiket yang lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X