Rabu, 6 March 2024 | 8:42pm
Anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting mengeluarkan mangsa yang tertimbus. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting mengeluarkan mangsa yang tertimbus. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Pekerja maut tertimbus runtuhan tanah di tapak perlombongan

KUALA LANGAT: Seorang pekerja meninggal dunia di tapak perlombongan selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Sungai Kelambu, Banting di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.34 tengah hari.

"Siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari yang mana terdapat dua jentera mesin jengkaut sedang beroperasi dihimpit tanah dan seterusnya tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

"Ketika kejadian, salah seorang daripada pemandu jengkaut itu, seorang lelaki tempatan berjaya menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, seorang lagi pemandu juga lelaki tempatan tidak sempat untuk menyelamatkan diri kerana terhimpit dan tertimbus dengan runtuhan tanah liat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira jam 1.45 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Banting.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa terbabit adalah pekerja di lombong terbabit.

"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan pihak polis mengklafikasikan kes ini sebagai kematian mengejut (SDR), kematian disebabkan kemalangan di tempat kerja," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa.

"Sebaik menerima panggilan, bomba bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun tertimbus sehingga paras dada.

"Bomba berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa 15 minit dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya.

Berita Harian X