Selasa, 5 March 2024 | 10:34am
Lima deretan kedai musnah dalam kebakaran di Bandar Baru Sungai Buloh, awal pagi ini. - Foto NSTP/Ihsan bomba
Lima deretan kedai musnah dalam kebakaran di Bandar Baru Sungai Buloh, awal pagi ini. - Foto NSTP/Ihsan bomba

Lima kedai musnah terbakar

SUNGAI BULOH: Lima kedai musnah dalam kebakaran di Bandar Baru Sungai Buloh di sini, awal pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kejadian pada 3.58 pagi.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Damansara serta BBP Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan lima deretan kedai setingkat terbakar.

"Api berjaya dikawal pada 4.39 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada 6.50 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 22 pegawai dan anggota terbabit operasi pemadaman itu.

Kata beliau, berdasarkan laporan, kebakaran membabitkan sebuah kedai runcit dan stornya yang musnah 80 peratus, kedai barangan terpakai juga musnah 80 peratus, dua kedai makan dengan kemusnahan masing-masing 50 peratus serta 30 peratus.

Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit kejadian itu.

Berita Harian X