Ahad, 3 March 2024 | 2:15pm
Ahli keluarga atlet SUKMA Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, berkumpul di Hospital Tuanku Jaafar selepas mangsa rebah tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height. - NSTP/Azrul Edham
Ahli keluarga atlet SUKMA Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, berkumpul di Hospital Tuanku Jaafar selepas mangsa rebah tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height. - NSTP/Azrul Edham

'Kontinjen Terengganu hilang sebutir permata SUKMA'

KUALA TERENGGANU: "Arwah (Wan Muhammad Haikal Wan Hussin) adalah seorang pesilat berpotensi untuk menghadiahkan pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) nanti.

"Pemergian permata silat kelahiran Besut itu satu kehilangan yang besar buat kontinjen SUKMA Terengganu," kata Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Terdahulu pesilat berusia 21 tahun itu yang bakal membawa cabaran Terengganu pada temasya SUKMA edisi ke-21 di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos ini disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi, ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Negeri Sembilan.

Pesilat yang bakal membuat penampilan pertama pada temasya SUKMA itu rebah ketika menyertai pertandingan silat praSukma anjuran Persatuan Silat Negeri Sembilan yang bermula 29 Februari hingga 4 Mac.

Arwah yang berjaya mara ke suku akhir kejohanan itu difahamkan mengalami kecederaan di dada sebelah kiri akibat ditendang lawan ketika pertandingan berlangsung, sebelum rebah dan tidak sedarkan diri sewaktu kiraan daripada wasit perlawanan.

"Arwah bersama 24 lagi atlet silat Terengganu menyertai pertandingan anjuran Negeri Sembilan sebagai persiapan menjelang temasya Sukma yang berbaki kira-kira lima bulan lagi.

"Arwah adalah seorang pesilat berpotensi untuk menghadiahkan pingat dalam temasya itu nanti biarpun bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu nanti.

"Pemergian arwah satu kerugian besar buat kontinjen SUKMA Terengganu terutama dalam sukan silat lebih-lebih lagi tersenarai atlet yang bakal membawa pulang pingat.

"Pihak MSNT mengucapkan takziah buat keluarga arwah lebih-lebih lagi pengorbanan besar untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen Sukma Terengganu," kata Ahmad Shahrizal ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Ahmad Shahrizal menjelaskan segala kos pengurusan termasuk pengangkutan dan pengebumian akan ditanggung oleh pihak MSNT.

"Selain itu arwah juga turut dilindungi insurans, pihak kami masih menunggu laporan lengkap daripada pihak pengurusan Persatuan Silat Terengganu berhubung kronologi kejadian itu.

"Selepas itu pihak kami akan membuat penilaian dan tindakan susulan berhubung kejadian yang tidak diingini itu, pihak kami juga mengharapkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang bukan-bukan berhubung kejadian itu," katanya yang memaklumkan pertandingan itu yang sepatutnya berakhir esok terpaksa dibatalkan susulan kematian itu.

Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Selising, Besut selepas solat Isyak pada malam ini.

Berita Harian X