Jumaat, 1 March 2024 | 10:32am
Seramai 15 PATI ditahan di Pengerang, Kota Tinggi, dekat sini, atas pelbagai kesalahan termasuk membuka premis perniagaan tanpa lesen dan kebenaran, semalam. Foto ihsan Jabatan Imigresen
Seramai 15 PATI ditahan di Pengerang, Kota Tinggi, dekat sini, atas pelbagai kesalahan termasuk membuka premis perniagaan tanpa lesen dan kebenaran, semalam. Foto ihsan Jabatan Imigresen

10 premis perniagaan dikendalikan warga asing di Pengerang, Kota Tinggi disita

JOHOR BAHRU: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Pengerang, Kota Tinggi, semalam, atas pelbagai kesalahan termasuk membuka premis perniagaan tanpa lesen dan kebenaran.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata dalam operasi bersepadu pelbagai agensi itu, 10 premis dikendalikan warga asing disita Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), manakala lima kompaun dan tiga notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada premis gagal mempamerkan sijil perakuan Pendaftaran Perniagaan serta tidak mempamerkan papan tanda mengandungi nama dan nombor perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Dalam operasi bersepadu hasil aduan awam di Pengerang semalam, sebanyak 15 premis dan 38 warga asing serta tempatan diperiksa.

"Daripada jumlah itu, 15 PATI ditahan membabitkan lapan warga Bangladesh; lima warga Indonesia dan masing-masing seorang warga Pakistan dan India.

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 43 tahun atas pelbagai kesalahan terutama Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah berada di Malaysia dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa serta peraturan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Baharuddin berkata, 14 PATI turut ditahan dalam Ops Bersama yang diadakan di Plaza Tol Skudai arah Selatan, petang kelmarin.

Katanya, ia hasil pemeriksaan terhadap 73 warga asing yang menaiki pengangkutan awam dan persendirian memasuki lebuh raya berkenaan.

"Hasil pemeriksaan itu, kita turut menahan 14 PATI membabitkan enam warga Indonesia; lima warga lndia; dua warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan yang berusia antara 23 hingga 50 tahun.

"Semua mereka melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau permit berada di Malaysia, selain tinggal lebih masa.

"PATI terbabit kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini, untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Baharuddin berkata, PATI yang berada di Johor dinasihatkan menyertai Program Repatriasi Migran yang berkuatkuasa mulai hari ini hingga 31 Disember 2024, bagi dihantar pulang ke negara masing-masing," katanya.

Berita Harian X