Rabu, 28 Februari 2024 | 10:54pm

Tiada unsur jenayah kes budak autisme lemas dalam tasik - Polis

KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan kematian seorang kanak-kanak lelaki lima tahun autisme yang ditemui lemas dalam sebuah tasik di Sea Park, Petaling Jaya di sini, semalam sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar, berkata bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) tidak menemui kesan cedera atau pendarahan pada mangsa.

"Doktor mengklasifikasikan punca kematian mangsa adalah mati lemas. Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) memandangkan tiada unsur jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya pihak polis akan meneruskan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas pengabaian dan kecuaian oleh penjaga.

Mengulas lanjut, Shahrulnizam berkata polis menerima aduan berhubung kehilangan mangsa pada jam 6.30 petang semalam daripada seorang lelaki tempatan yang juga bapa mangsa.

"Pengadu memaklumkan anak lelakinya berusia lima tahun yang juga pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) autisme, disedari hilang semasa bermain dengan kembarnya di sebuah taman tasik rekreasi kira-kira jam 3.30 petang.

"Lelaki itu memberitahu dia tertidur ketika sedang memerhatikan pasangan kembar itu bermain di sekitar kawasan taman tasik rekreasi terbabit. Dia cuba mencari anaknya di sekitar kawasan tasik terbabit namun gagal menjumpainya," katanya.

Kira-kira jam 6.50 petang, katanya pengadu menerima panggilan daripada orang awam yang menjumpai anaknya dalam keadaan terapung di permukaan tasik, kira-kira empat meter dari tebing tasik.

"Pihak ambulans dari HSB yang hadir ke lokasi membuat pemeriksaan dan memberikan rawatan kecemasan serta bantuan pernafasan namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia akibat lemas," katanya.

"Sepasukan pihak polis kemudian membuat siasatan lanjut di tempat kejadian namun tidak menjumpai sebarang unsur jenayah," katanya.

Shahrulnizam berkata, siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditalian 03-79662222 untuk membantu siasatan.

Berita Harian X