Rabu, 28 Februari 2024 | 10:08pm
Anggota bomba memadamkan kebakaranyang membabitkan kereta dan motosikal serta menyebabkan dua individu melecur hampir keseluruhan badan dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham hari ini.- Foto/ Ihsan Polis Daerah Ipoh

Dua individu melecur teruk kebakaran kereta, motosikal

IPOH: Dua individu melecur hampir keseluruhan badan dalam kebakaran membabitkan sebuah kereta dan motosikal di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Azman Hussin, berkata sepasukan 10 anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan MPV jenis Perodua Alza dan motosikal jenis Honda C70.

"Mangsa lelaki dianggarkan berusia 60-an manakala wanita berusia 50-an mengalami melecur hampir keseluruhan badan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian didapati kedua-dua mangsa terbaring di tepi kereta dipercayai sudah dibawa keluar oleh orang awam," katanya hari ini.

Beliau berkata, hubungan antara kedua-dua mangsa itu belum dikenal pasti.

Katanya, kedua-dua mangsa berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh unttuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, punca kejadian masih disiasat.

Berita Harian X