Rabu, 28 Februari 2024 | 9:07pm
Toyota Vellfire yang rosak akibat bahang kebakaran sebuah kedai makan di bandar Cheras, petang tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Toyota Vellfire yang rosak akibat bahang kebakaran sebuah kedai makan di bandar Cheras, petang tadi. NSTP/Ihsan Bomba

Kedai makan terbakar, tujuh kenderaan rosak akibat bahang

KUALA LUMPUR: Tujuh kenderaan rosak terkena bahang kebakaran sebuah kedai makan di Jalan SS 2/2, Kampung Baru China, Bandar Cheras di sini, lewat petang tadi.

Kedai makan satu tingkat itu dilaporkan terbakar kira-kira jam 6 petang tadi, sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein dan Serdang dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata kebakaran menyebabkan kedai makan berkeluasan 800 kaki persegi musnah 80 peratus.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan tujuh kenderaan yang diparkir berhampiran kedai makan terbabit mengalami kerosakan akibat terkena bahang kebakaran.

"Tujuh kenderaan terbabit mengalami kerosakan pada bahagian luaran antara satu hingga 15 peratus.

"Kenderaan yang terjejas terdiri daripada dua Perodua Myvi, dan masing-masing satu Perodua Axia, Proton Saga, Toyota Vellfire, Proton X50 dan Nissan Serena," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nissan Serena yang rosak terkena bahang kebakaran sebuah kedai makan di bandar Cheras, petang tadi. Ihsan Bomba
Nissan Serena yang rosak terkena bahang kebakaran sebuah kedai makan di bandar Cheras, petang tadi. Ihsan Bomba

Ahmad Mukhlis berkata anggota bomba di lokasi berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak pada jam 6.18 petang.

"Kejadian itu tidak membabitkan mangsa dan buat masa ini, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X