Selasa, 27 Februari 2024 | 1:15pm
Gambar hiasan - Kedai Amal Aman Palestin di Bangi. NSTP/GENES GULITAH
Gambar hiasan - Kedai Amal Aman Palestin di Bangi. NSTP/GENES GULITAH

AGC bantah permohonan semakan kehakiman Aman Palestin terhadap SPRM

KUALA LUMPUR: Perintah dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank Aman Palestin tidak boleh dicabar melalui permohonan kebenaran semakan kehakiman, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, berhujah ia adalah kerana agensi itu mempunyai kuasa budi bicara untuk menjalankan siasatan jenayah.

Ahmad Hanir berkata, kuasa untuk mengeluarkan perintah pembekuan adalah satu mekanisme siasatan diperuntukkan mengikut undang-undang dan agensi penguatkuasaan diberi kuasa mengeluarkan perintah membekukan harta seseorang apabila memenuhi beberapa syarat.

Katanya, peruntukan berkenaan adalah mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

"Pengeluaran perintah pembekuan hanya dibuat apabila agensi penguatkuasaan memulakan siasatan terhadap seseorang dan ada alasan munasabah untuk mengesyaki beliau melakukan atau akan melakukan kesalahan pembiayaan keganasan, atau harta itu hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang

"Mahkamah berulang kali mengekalkan bahawa fungsi atau kuasa berhubung proses siasatan jenayah tidak boleh dipertikaikan melalui semakan kehakiman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah melalui bantahan awal Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Aman Palestin untuk mencabar tindakan SPRM membekukan 11 akaun banknya.

Bagaimanapun, peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berhujah pihaknya perlu diberi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman kerana permohonan itu mempunyai merit.

Peguam itu berkata, keengganan SPRM membatalkan atau mengubah perintah 'pembekuan salah' itu adalah tidak munasabah dan tidak mengikut peruntukan Seksyen 44 (1) Akta AMLATFPUAA.

Katanya, pembekuan akaun bank itu menyebabkan segala kutipan dana bantuan kepada mangsa kekejaman Israel di Gaza, kini terhenti dan tidak dapat dilakukan lagi.

"Ini menjadi lebih genting lagi apabila Program Bantuan Musim Sejuk yang dianggarkan menelan RM10 juta, tidak dapat disalurkan kepada mangsa di Gaza," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan pada 21 Mac ini bagi keputusan.

Aman Palestin memfailkan permohonan kebenaran itu pada 31 Januari lalu, dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; dua pegawai SPRM, Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff; SPRM; dan kerajaan selaku responden pertama hingga ketujuh.

Dalam permohonan itu, Aman Palestin memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama hingga keenam berhubung perintah pembekuan bertarikh 24 November 2023 terhadap 11 akaun bank miliknya.

Ia turut memohon SPRM mengubah perintah pembekuan supaya wang berjumlah RM11,026,215.60 dinyahbekukan dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja, pentadbiran, operasi dan misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.

Berita Harian X