Selasa, 27 Februari 2024 | 12:54pm
Datuk Zulkarnain Endut, 43, (kanan) selaku pemilik Emraz Travel hadapi mendengar pertuduhan yang dikenakan terhadap syarikat pengendali umrah miliknya di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini.
Datuk Zulkarnain Endut, 43, (kanan) selaku pemilik Emraz Travel hadapi mendengar pertuduhan yang dikenakan terhadap syarikat pengendali umrah miliknya di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini.

Suami isteri pemilik Emraz Travel hadapi 51 lagi tuduhan gagal bayar award Tribunal Pengguna

SEREMBAN: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas 51 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang berjumlah RM473,730 kepada 17 orang mangsa.

Syarikat berkenaan Emraz Travel & Tours Sdn Bhd diwakili dua pengarahnya yang juga suami isteri iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 43 dan Datin Mazuin Mustafa, 43.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Noor Hafiza Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat dengan Zulkarnain dan Mazuin selaku orang kena saman (OKS) masing-masing berdepan 17 pertuduhan kerana gagal mematuhi award TTPM berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat TTPM di Bangunan Akhma, Persiaran Utama S2-1, di sini, antara 29 Mei hingga 13 September 2023.

Pendakwaan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun,jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi dan Suhana Mohd memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

"Kes ini membabitkan 17 mangsa yang mana bakal jemaah umrah ini terpaksa menabung untuk menunaikan ibadah umrah.

"OKS juga turut berdepan kes yang sama di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak," kata Suhana.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Hanif Hassan, memohon jaminan dikurangkan RM100 hingga RM150 bagi setiap satu pertuduhan memandangkan jumlah ditawarkan bagi setiap tertuduh adalah sangat tinggi.

"Untuk makluman, anak guam saya tidak menjalankan operasi perniagaan dan lesen perniagaan juga ditamatkan. Mereka tidak mempunyai hasil pendapatan dan sedang berusaha untuk membayar saman tersebut," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM500 setiap pertuduhan iaitu bersamaan RM17,000 secara global (bagi semua pertuduhan) dengan seorang penjamin.

Majistret kemudian menetapkan 25 April bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 13 Februari lalu, pasangan terbabit menghadapi 51 tuduhan membabitkan kesalahan sama di Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Berita Harian X