Selasa, 27 Februari 2024 | 10:42am
Lima individu didakwa membunuh pemandu kereta yang terbabit nahas dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Bandar Baru Bangi. - NSTP/Sadiq Sani
Lima individu didakwa membunuh pemandu kereta yang terbabit nahas dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Bandar Baru Bangi. - NSTP/Sadiq Sani

Lima 'rider' didakwa membunuh pemandu kereta yang terbabit nahas

BANGI: Lima penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemandu lelaki dalam kejadian tular di media sosial yang menunjukkan mangsa diikat tangannya sebelum ditarik keluar daripada kereta dan dipukul.

Tertuduh, Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima lelaki itu didakwa membunuh Shahril Samad, 42, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang, jam 9.54 malam pada 20 Februari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibacakan bersama Seksyen 34 KK yang membawa kepada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafiz.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 25 April depan untuk status dokumen forensik, kimia serta bedah siasat.

Selesai prosiding, seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit 'bang, kau tunggu' ke arah semua tertuduh sebelum ditenangkan ahli keluarga lain dan diminta keluar dari mahkamah oleh polis.

Media melaporkan kejadian minggu lalu itu dipercayai berlaku selepas lelaki berkenaan yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan beberapa kenderaan lain.

Mangsa dikatakan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Sehubungan itu, polis menahan tujuh lelaki berusia antara 22 hingga 52 tahun di Semenyih, Kajang dan Beranang untuk membantu siasatan.

Berita Harian X