Selasa, 27 Februari 2024 | 7:36am
Laporan BH Online kejadian.
Laporan BH Online kejadian.

Lima suspek pukul pemandu kereta sehingga mati didakwa hari ini

KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang ditahan kerana disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mati selepas kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, dekat sini minggu lalu akan dituduh di mahkamah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan semua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang.

Difahamkan, semua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Rabu minggu lalu, media melaporkan pemandu lelaki berusia 42 tahun diikat tangannya sebelum ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan dan dipukul sehingga maut.

Kejadian pada 20 Februari itu dipercayai berlaku selepas lelaki berkenaan yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan dan beberapa kenderaan lain.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikatakan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Sehubungan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 52 tahun di sekitar kawasan Semenyih serta Beranang untuk membantu siasatan.

Polis turut menahan dua lagi lelaki masing-masing berusia 22 dan 39 tahun di Kajang yang disyaki terbabit kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, manakala polis trafik turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X