Isnin, 26 Februari 2024 | 10:20pm
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village menunjukkan ukar tedung sepanjang 3.5 meter yang berjaya ditangkap dari sebuah rumah di Kampung Sungai Muda Ulu Slim, Slim River pagi tadi. - Foto ihsan PBS Slim Village
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village menunjukkan ukar tedung sepanjang 3.5 meter yang berjaya ditangkap dari sebuah rumah di Kampung Sungai Muda Ulu Slim, Slim River pagi tadi. - Foto ihsan PBS Slim Village

Ular tedung masuk rumah, dua beradik cemas

SLIM RIVER: Dua beradik berdepan detik cemas pagi tadi apabila kediaman mereka di Kampung Sungai Muda Ulu Slim, di sini, dimasuki seekor ular tedung sepanjang 3.5 meter sebelum bersembunyi di bawah sebuah sofa.

Mereka sempat keluar selepas menyedari kehadiran reptilia berkenaan, sebelum mendapatkan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village untuk menangkapnya.

Ketua PBS Slim Village, Mohamad Hanafi Mohamad Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran reptilia berbisa itu kira-kira jam 10.15 pagi, sebelum menghantar lima anggota.

Katanya, pengadu yang berumur 24 tahun menyedari kehadiran ular itu selepas terdengar geseran dan dengusan dari anjung rumah ketika sedang membaiki motosikal di tempat parkir kenderaan.

"Selepas itu, pengadu ternampak pula seekor kucing berlari dari kawasan anjung yang menempatkan sofa terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Hanafi berkata pengadu masuk ke dalam rumah kemudian ternampak seekor ular tedung berada di bawah sofa sebelum menghubungi pihaknya bagi mendapatkan bantuan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota kami mendapati ada seekor ular tedung kira -kira 3.5 meter di bawah sofa dekat anjung rumah, sebelum usaha menangkapnya dilakukan menggunakan penjerut," katanya

Mohamad Hanafi berkata, anggota keluarga terbabit bernasib baik kerana menyedari awal kehadiran reptilia berbisa berkenaan.

Katanya, ketika kejadian ibu bapa dua beradik tiada dirumah.

"Ular terbabit kemudian dibawa pulang ke pejabat PBS Slim Village untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X