Isnin, 26 Februari 2024 | 6:24pm
Nulhan Khalid, (dua kanan) dan Isnawi Sarawi (kiri) di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini. - Foto NSTP/Abdul Rahemang Taiming.
Nulhan Khalid, (dua kanan) dan Isnawi Sarawi (kiri) di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini. - Foto NSTP/Abdul Rahemang Taiming.

Pengganggur dipenjara 80 tahun, 24 sebatan bunuh tukang kebun, tenaga pengajar

TAWAU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 80 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan bunuh iaitu mengelar tukang kebun dan tenaga pengajar sebuah gereja di Ladang Pinang, Semporna, dua tahun lalu.

Nulhan Khalid, 31, membuat pengakuan itu sejurus kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan dalam bahasa Bajau oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa membunuh tukang kebun, Hipang Iba Bernadus di kawasan Gereja Santa Maria, Kebun Sawit Ladang Pinang, Semporna, antara jam 4 hingga 5 petang, pada 26 Jun 2022.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membunuh tenaga pengajar gereja, Tomas Yohanes pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan tidak kurang dari 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah diseksa dengan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Duncan dalam penghakimannya berkata dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira tahap kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan mahkamah boleh menjatuhkan hukuman gantung kepada tertuduh.

Katanya, dalam kes ini, dua mangsa meninggal dunia atas perbuatan tertuduh.

"Setelah mempertimbangan semua faktor termasuk fakta kes, pengakuan insaf dan bersalah tertuduh, mahkamah memerintahkan kamu (tertuduh) dihukum penjara 40 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahakmah bagaimanapun memerintahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa secara serentak dari tarikh tangkapan iaitu pada 26 Jun 2022 manakala hukuman sebatan dijalankan secara berasingan selain tertuduh diperintah dihantar pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain manakala tertuduh diwakili peguam Jhassery P Kang bersama Jhasseny P Kang.

Sementara itu, di Mahkamah sama seorang pengedar dadah terlepas hukuman gantung selepas dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan mengedar dadah jenis syabu seberat 199.71 gram, pada 1 Februari tahun lalu.

Isnawi Sarawi, 45, yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama, di dakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tepi Jalan Kampung Panji, Jalan Pantai, Lahad Datu, kira-kira jam 3.30 petang.

Hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan dan tertuduh turut diperintah diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Hurman sementara tertuduh diwakili peguam Vivian Thien Shin Ying.

Berita Harian X