Isnin, 26 Februari 2024 | 10:19am

16 kenderaan musnah, dua bengkel terbakar

SUNGAI PETANI: Sebanyak 16 kenderaan termasuk lima kereta dan 11 motosikal musnah dalam kebakaran membabitkan dua buah bengkel di Taman Keladi, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.23 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani yang diketuai Muhamad Rahimi Abu Hasan bersama 11 anggota ke lokasi kejadian.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 5.45 pagi. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya seramai enam orang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Petani dan Bakar Arang.

Katanya, operasi tamat pada 6.36 pagi dan setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan dua bengkel yang menyebabkan 16 kenderaan musnah. - Foto Bomba
Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan dua bengkel yang menyebabkan 16 kenderaan musnah. - Foto Bomba
Berita Harian X