Ahad, 25 Februari 2024 | 12:06pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Reman lima suspek pukul pemandu hingga mati disambung empat hari

KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang ditahan selepas disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mati selepas kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, dekat sini, Selasa lalu disambung reman empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan yang dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu.

"Kesemuanya disambung reman empat hari lagi sehingga 29 Februari," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Mohd Zaid, semalam dilaporkan berkata selain lima tangkapan pertama, polis turut menahan dua lagi lelaki berusia 22 dan 39 tahun di Kajang yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman lima hari bermula 23 Februari sehingga 28 Februari ini dan setakat ini jumlah suspek yang ditahan dalam kes itu seramai tujuh orang.

Rabu lalu, media melaporkan lelaki berusia 42 tahun itu diikat tangannya sebelum ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan dan dipukul hingga maut.

Kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki berkenaan yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan dan beberapa kenderaan lain.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikatakan telah dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Berita Harian X